4.4 KESIMPULAN
Berdasarkan analisis elemen saintifik al-Qur’an menerusi ayat-ayat terpilih dalam pentafsiran al-Sha‘rawi di atas menunjukkan bahawa, metode al-‘Ilmi al-Naqli al-Ijtima‘i yang diterapkan ketika mentafsirkan komponen saintifik al-Qur’an dalam pelbagai bidang kajian meliputi saintifik ketuhanan, saintifik sosial dan saintifik tabii telah menguak prospek kemukjizatan al-Qur’an dalam pelbagai perspektif. Misalnya saintifik ketuhanan pada Surah al-‘Alaq ayat 16 dan Surah al-Ra‘d ayat 28 telah membuktikan bahawa ayat al-Qur’an bukan sekadar kitab panduan kebenaran, sebaliknya terkandung makna tersirat mengenai implikasi negatif akibat perlanggaran perintah Allah SWT dan kebaikan yang diperolehi daripada nilai ketaatan yang dilakukan. Penemuan ini hanya akan dicapai melalui tadabbur dan penelitian ayat bersifat naqli dan ‘aqli.
Manakala solusi terhadap isu sosial terpilih melalui idea yang dikemukakan dalam ayat 10 Surah al-Hujurat dan ayat 8 Surah al-Ma’idah membuktikan bahawa pemahaman elemen saintifik al-Qur’an memberikan kaedah terbaik dalam mendepani dan memahami sesuatu isu. Selain itu, perincian dan analisis ayat al-Kawniyyah dalam tiga bidang kajian berbeza pada analisis elemen saintifik tabii menyerlahkan keagungan al-Qur’an dalam aspek teks dan konteks serta fungsional.
Justeru itu dapat difahami bahawa, idea ataupun konsep elemen saintifik yang terdapat di dalam pentafsiran ayat-ayat al-Qur’an seperti yang dikemukakan oleh al- Sha‘rawi membuktikan kredibiliti beliau dalam menyatupadukan kepelbagaian disiplin ilmu dalam tradisi pengajian Islam, serta menyerlahkan hubungkait harmoni dengan keilmuan semasa. Dalam hal ini pengkaji meyakini bahawa semakin luas dan rencam penyelidikan dilakukan menerusi kaedah pentafsiran ini, semakin berkembang bidang kajian ini melalui penemuan-penemuan ilmiah semasa. Oleh itu, sampel ayat terpilih dalam analisis di atas adalah satu bentuk ‘permulaan’ dalam menguak prospek kemukjizatan al-Qur’an.
BAB 5 : PENUTUP
- PENGENALAN
Bab ini secara keseluruhan akan merumus dan mengemukakan cadangan- cadangan berkaitan dengan perbincangan dan analisis yang telah dilakukan pada setiap bab kajian. Kesimpulan yang dirumuskan di bahagian ini berdasarkan kepada persoalan dan objektif yang digariskan di awal kajian ini. Berikut adalah kesimpulan daripada penemuan yang dihasilkan menerusi kajian ini.
- RUMUSAN KAJIAN
Hasil daripada analisis kajian yang dilakukan dapat dirumuskan seperti berikut:
- Konsep elemen saintifik dalam al-Qur’an adalah merupakan refleksi daripada usaha kesarjanaan dalam mengimplementasi perkembangan ilmu pengetahuan semasa dalam memahami inti pati teks al-Qur’an, agar bersesuaian dengan konteks kekinian peradaban manusia berdasarkan kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama klasik dan moden. Serta memurnikan konsep dan struktur saintifik olahan intelektual Barat yang memisahkan elemen spiritual (ketuhanan) dalam gerak kerja saintifik.
- Selain itu, penelitian data korpus menunjukkan bahawa kepelbagaian metodologi dalam mentafsirkan al-Qur’an selaras dengan perkembangan
pengetahuan dan budaya pada setiap zaman, menjadi bukti kepada usaha berterusan dalam memahami makna al-Qur’an. Prinsip utama ialah untuk mencapai maqasid shari‘ah yang bertepatan kaedahnya dengan dawabit yang telah ditetapkan oleh para ulama. Oleh itu, Islam perlu menangani persoalan i‘jaz dengan cara yang berbeza dan kaedah yang berlainan selaras dengan tuntutan semasa. Pada hemat pengkaji, usaha mengaplikasikan kaedah seumpama ini (implementasi elemen saintifik kontemporari) telah menjadi satu keperluan bagi umat Islam dalam mengukuhkan pegangan akidah dan keimanan berasaskan persepsi yang kukuh terhadap nilai al-Qur’an sebagai sebuah kitab yang diwahyukan lebih daripada persepsi orang bukan Islam yang hanya melihatnya sebagai subjek pengajian akademik semata-mata. Penekanan menerusi kajian ilmiah ini diketengahkan kepada intelek ini juga untuk membantu membina asas rasional terhadap pegangan agamanya.
- Pembahagian elemen saintifik dalam kajian ini ialah meliputi tiga konsep utama yang terkandung di dalam al-Qur’an iaitu meliputi aspek ketuhanan (Ilahiyyat), aspek kemanusiaan (Ijtima‘i/tashri‘i) dan aspek alam tabii (al-Kawniyyat). Berdasarkan analisis, aspek ini diperincikan lagi dalam tiga kategori utama dikenali sebagai Saintifik Ketuhanan (Divine Science), Saintifik Sosial (Social Science) dan Saintifik Tabii (Natural Science). Idea pembahagian ini turut diketengahkan oleh Osman Bakar menerusi karyanya bertajuk Tauhid & Sains: Perspektif Islam tentang Agama dan Sains, beliau telah menyatakan bahawa perbincangan aspek Tuhan, manusia dan alam tidak dapat dipisahkan apabila membahaskan aspek saintifik dan Islam, dan ia adalah merupakan elemen terpenting dalam pengkajian ilmu saintifik al-Qur’an.
- Walaupun wujud pelbagai pandangan pro dan kontra terhadap idea mentafsirkan al-Qur’an menerusi dapatan ilmiah, para ulama telah sepakat terhadap manfaatnya yang lebih besar kepada umat Islam dan manusia amnya, seperti pandangan yang telah dikemukakan oleh Muhammad al-Ghazali dan Malek Bennabi menerusi idea fenomenologikalnya. Justeru, kajian ini juga adalah merupakan kesinambungan terhadap idea-idea yang telah dikemukakan oleh sarjana sebelum ini.
- Oleh yang demikian, i‘jaz al-Qur’an hanya boleh menjadi suatu kualiti yang kekal sepanjang zaman dan generasi, suatu kualiti yang boleh difahami sama ada melalui kesedaran semula jadi atau berdasarkan pengamatan saintifik sebagaimana aplikasi elemen saintifik yang diketengahkan oleh al-Jahiz melalui karyanya Nazm al-Qur’an dan al-Jurjani melalui karyanya Dala’il al-I‘jaz. Begitu juga pendekatan yang dilakukan oleh Tantawi Jawhari, Maurice Bucaille, Malik Bennabi, dan Zaghlul al-Najjar. Walaupun pada hakikatnya umat Islam kini kekurangan sama ada dari bakat semula jadi yang dikurniakan kepada umat terdahulu atau kemampuan saintifik dan teknikal yang dimiliki oleh cendekiawan Islam zaman Abbasiyyah, al-Qur’an sama sekali tidak pernah kehilangan aspek i‘jaz atau nilai saintifiknya kerana ia merupakan inti patinya. Jauh sekali menjadi fakta sejarah yang terjadi dengan kebetulan semata-mata.
- Konklusinya, pengkaji lebih rigid untuk melihat bagaimana keilmuan saintifik semasa yang telah dibuktikan kesahihannya mampu memberikan kefahaman yang lebih rinci terhadap hikmah dan objektif penurunan al-Qur’an. Melihat
kepada dawabit i‘jaz yang telah digariskan oleh para sarjana dan mengharmonikannya dengan pengetahuan semasa, penyelidik berkeyakinan penerokaan dan pengkajian ini mengukuhkan lagi mesej al-Qur’an, menguak kemukjizatan al-Qur’an, selain menjawab tohmahan dan tuduhan liar golongan saintisme dan sekularisme moden terhadap kesucian al-Qur’an.
- Manakala berdasarkan kepada analisis data dan maklumat yang diperolehi daripada latar belakang al-Sha‘rawi sebagai seorang tokoh tafsir saintifik Islam moden, jelas menunjukkan keupayaan yang telah beliau lakukan. Latar belakang keluarga, pendidikan, kualiti penulisan dan kredibiliti keilmuan serta kefaqihan dalam agama mewajarkan untuk dilakukan penelitian ilmiah terhadap idea dan pemikiran menerusi karya yang beliau hasilkan.
- Penelitian terhadap penguasaan al-Sha‘rawi dalam pelbagai bidang ilmu turath dan semasa, melalui penghasilan puluhan karya beliau menunjukkan kemampuan dalam mengharmonikan dan menginterpretasikan elemen naqli dan ‘aqli ketika mentafsirkan al-Qur’an.
- Keilmuan dan keberanian dalam pelbagai isu mendapat pengiktirafan oleh sarjana sezaman dan selepas hayat beliau. Sebagai bukti, al-Sha‘rawi adalah antara ulama yang lantang menentang penindasan Israel dan sekutunya terhadap Palestin dan negara Islam yang lain. Malah menentang keras usaha ‘pembaratan’ dalam sistem sosial, politik, pendidikan mahupun ekonomi yang dilakukan pemerintah Mesir pada ketika itu. Semangat ini menjadi asas kepada usaha
islamisasi pemikiran dan pemerintahan dalam kalangan masyarakat Mesir amnya. Shaykh al-Qaradawi adalah anak murid yang paling menyerlah meneruskan semangat beliau.
- Selain itu, perincian metode pentafsiran dan implementasi saintifik dalam Tafsir Al-Sha‘rawi menunjukkan indikasi utuh terhadap kewajaran pengkajian elemen saintifik yang dikemukakan dalam tafsir ini. Malah berdasarkan penelitian pada sumber dan metodologi pentafsiran memberikan petunjuk kepada kedalaman pengetahuan dan kemampuan beliau membuat hubungkait pemikiran saintifik dalam ayat-ayat terpilih. Penemuan ini sekali gus menyerlahkan keistimewaan Tafsir Al-Sha‘rawi yang menjadi fokus utama kajian.
- Malah, identifikasi metode al-‘Ilmi, al-Naqli al-Ijtima‘i sebagai manhaj khusus al-Sha‘rawi dalam berinteraksi dengan pentafsiran saintifik al-Qur’an bukan sekadar membuktikan kemampuan akal dan kejelasan matlamat pentafsiran, malah telah membawa kepada penemuan hubungkait harmoni di antara; Komponen perbahasan utama dalam pentafsiran al-Sha‘rawi (saintifik ketuhanan, saintifik sosial dan saintifik tabii) dan elemen i‘jaz; (i‘jaz al-Ilahi, i‘jaz al-Tashri‘i dan i‘jaz al-‘Ilmi), serta perbahasan tema utama dalam al- Qur’an (ketuhanan, alam semesta dan manusia) seperti perincian pada Rajah 3.1. Pengkajian ini sekali gus menyerlahkan konsep ilmu yang lebih jelas serta menyatupadukan kepelbagaian bidang ilmu dalam konteks saintifik al-Qur’an. Walaupun penemuan ini masih baru, legitimasi intelektual mendapati usaha ini telah membuka satu ruang baru dalam pentafsiran al-Qur’an.
- Bagi mengidentifikasi implementasi saintifik dalam pentafsiran al-Sha‘rawi, sebanyak lapan isu diketengahkan mewakili ayat-ayat terpilih dalam setiap elemen saintifik yang meliputi Saintifik Ketuhanan, Saintifik Sosial dan Saintifik Tabii. Dalam isu Saintifik Ketuhanan misalnya, Surah al-‘Alaq ayat 16, Surah al-Sajadah ayat 9 dan Surah al-Ra‘d ayat 28 diperincikan untuk melihat korelasi ayat al-Qur’an berdimensi al-Uluhiyyah, al-Rububiyyah dan al- Ghaybiyyah dengan saintifik semasa. Manakala Surah al-Hujurat ayat 10 dan Surah al-Ma’idah ayat 8 mewakili perbahasan komponen sosiologi atau i‘jaz al- Tashri‘i dalam isu Saintifik Sosial. Manakala dalam isu Saintifik Tabii pula, tiga ayat yang mewakili tema al-Kawniyyah (hidupan di langit; astronomi, di bumi; geologi dan di laut; oseanografi) diketengahkan untuk dianalisis hubungkait dengan penemuan saintifik. Ayat tersebut ialah Surah al-Waqi‘ah ayat 75-76, Surah al-Naba’ ayat 6-7 dan Surah al-Rahman ayat 19-21.
- Pengkaji merumuskan, penemuan semasa juga merupakan salah satu data dan fakta kepada pentafsiran al-Qur’an, kerana kemukjizatan al-Qur’an akan terus berkembang pesat dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan intelektual manusia. Hal ini kerana pengkajian saintifik al-Qur’an adalah bermatlamat untuk menjadikannya satu wasilah perhubungan yang lebih erat antara manusia dengan Allah SWT sebagai pencipta. Menanam keimanan terhadap kitabullah berdasarkan pengetahuan, pemahaman dan perasaan yang murni terhadap ayat-ayat dalam tata susunan al-Qur’an, dan hal ini akan berlanjutan sehingga hari kiamat selaras dengan penemuan ilmiah dan keilmuan manusia.
- Berdasarkan perincian dan analisis elemen saintifik menerusi ayat-ayat terpilih dalam Tafsir Al-Sha‘rawi serta hubung kait dengan penemuan saintifik, pengkaji merumuskan al-Sha‘rawi konsisten dalam usaha menyerlahkan nilai kemukjizatan yang terdapat dalam setiap ayat yang dibahaskan. Walaupun demikian, terdapat sebahagian pentafsiran beliau dikesan tidak mengemukakan hubungkait saintifik secara terperinci, sebaliknya sekadar mengemukakan idea dan konsep untuk ‘membuka ruang’ pengkajian yang lebih mendalam kepada pengkaji seterusnya. Justeru itu, inisiatif kajian ini juga dilakukan untuk melihat fakta dan keabsahan implementasi saintifik dalam pentafsiran beliau serta dapatan terkini terhadap isu tersebut.
- Melalui analisis dan perbandingan terhadap data-data elemen saintifik yang dikemukakan oleh al-Sha‘rawi, didapati terdapat fakta yang beliau kemukakan tidak mengandungi sumber rujukan. Namun setelah proses tarjih dilakukan, didapati data saintifik yang beliau kemukakan adalah seiring dengan penemuan saintifik semasa. Misalnya, penemuan terhadap implikasi pada komponen nasiyah disahkan melalui teori saintifik Scott Fero. Justeru, kajian ini bukan sahaja menyerlahkan idea saintifik yang dikemukakan oleh al-Sha‘rawi, malah dalam masa yang sama menyempurnakan idea yang beliau kemukakan. Dapatan ini menjadi kewajaran agar penyelidikan berterusan dilakukan terhadap isu-isu lain yang berkaitan.
- Dalam setiap isu yang diperincikan, pengkaji mendapati ahli tafsir klasik mahupun moden memiliki sudut pandang yang berbeza ketika mentafsirkan
ayat-ayat berdimensi saintifik. Tidak menjadi suatu kemestian mufassir moden cenderung kepada penemuan ilmiah. Salah satu faktor yang dikenal pasti ialah bergantung kepada latar belakang pendidikan dan penguasaan disiplin ilmu yang dimiliki oleh pentafsir. Misalnya, walaupun al-Maraghi hidup pada zaman terkemudian dan keluasan ilmu semakin berkembang berbanding al-Alusi, namun dalam isu menguak nilai i‘jaz dan hikmah pada kalimah al-Sam‘a dan al- Absar, al-Alusi dilihat lebih terkedepan dalam mentafsirkan ayat ini. Justeru, dapatan korpus ini mengukuhkan lagi perincian dalam analisis kajian.
- Selain itu, dapatan lain juga menunjukkan bahawa al-Sha‘rawi cenderung mengaitkan secara tidak langsung elemen saintifik al-Qur’an menerusi kemukjizatan leksikal dan semantik kalimah al-Qur’an yang dibahaskan, seperti saintifik tabii pada kalimah mawaqi‘ al-Nujum. Metode ini dilihat mengukuhkan lagi pentafsiran yang beliau kemukakan. Dalam pada itu, pengkaji juga menemui sebahagian perbahasan elemen saintifik dalam tafsir beliau dijelaskan dengan lebih terperinci dalam karya yang lain. Misalnya, mengenai saintifik ketuhanan pada Surah al-Sajadah ayat 9 turut dibahaskan dalam karyanya berjudul Mu‘jizah al-Qur’an.
- Dalam aspek yang lain pula, analisis menunjukkan terdapat penemuan baharu mengenai hikmah dan i‘jaz pada ayat خاطئة كاذبة ناصية dalam aspek leksikal dan perkaitannya pada konteks implikasi berdasarkan perincian saintifik. Selain itu, saintifik ketuhanan dalam Surah al-Sajadah ayat 9 bukan sekadar menyerlahkan keindahan tatasusunan kalimah السمع dan األبصار , malah wujudnya korelasi
dalam aspek makna teks dan perkaitan terhadap fungsinya. Lebih menarik apabila perumpamaan kisah ashab al-Kahfi secara saintifik menjadi bukti hubungkait interaksi Allah, manusia dan alam. Manakala rahsia ‘ketenangan’ dalam ayat القلوب تطمئن بذكرهللا telah membuktikan hubungkait spiritual dan fisiologi manusia.
- Perincian Saintifik Sosial dalam Surah al-Hujurat ayat 10 telah membawa kepada penemuan terhadap aspek penjenamaan semula konsep modal sosial berteraskan frasa ‘ikhwah’ yang menjadi kerangka utama pembentukan institusi sosial. Manakala analisis kalimah ‘al-‘Adl’ Surah al-Ma’idah ayat 8 membuktikan keadilan sosial dalam bentuk jaminan dan perlindungan lebih menyeluruh dalam tingkatan hierarki sosial.
- Selain itu, rumusan terhadap analisis saintifik tabii pada tiga komponen ayat terpilih mendapati, penggunaan kalimah النجوم مواقع, (برزخ) dan (بحرين), serta kalimah أوتادا والجبال adalah bersesuaian pada aspek tekstual dan fungsionalnya. Malah dibuktikan perkaitannya secara saintifik berdasarkan penyelidikan ilmiah terkini. Penemuan baru ini secara tidak langsung memberikan nilai tambah pada penghuraian dan perluasan makna kalimah khususnya pada ayat al-Kawniyyah.
- CADANGAN
Bahagian ini selanjutnya akan mengemukakan beberapa cadangan yang berkaitan dengan kajian ini. Berikut adalah beberapa cadangan yang dikemukakan hasil daripada dapatan, analisis dan rumusan yang dibuat.
- Pengkaji menyarankan agar kajian analitikal lanjutan mengenai elemen saintifik kontemporari dalam pentafsiran al-Quran diteruskan dengan melakukan penelitian terhadap karya-karya tafsir yang lain seperti Tafsir Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azim karya al-Alusi, Tafsir al-Maraghi tulisan al-Maraghi, Tafsir al-Azhar karangan Hamka, Tafsir al-Asas fi al-Tafsir karya Sa‘id Hawwa. Selain itu, kajian ini juga perlu diperluaskan dengan meneliti karya-karya lain yang membincangkan hubungkait ayat al-Qur’an dengan penemuan-penemuan saintifik semasa. Misalnya kitab berjudul, al-Mawsu‘ah al-Kawniyyah al-Kubra sebanyak 20 jilid tulisan Mahir Ahmad al-Sufi, kitab I‘jaz al-‘Ilmi fi al-Qur'an karya Sayyid al-Jamili. Prospek kajian boleh difokuskan kepada aspek pentarjihan data-data saintifik yang dikaitkan dengan ayat al-Qur’an agar bertepatan dengan kaedah pentafsiran dan makna al-Qur’an.
- Selain itu, berdasarkan penelitian terhadap data-data perkembangan saintifik al- Qur’an, pengkaji masih belum menemui kajian ilmiah yang meneliti kandungan saintifik pada era al-Kindi (801-873 M) adalah merupakan kesinambungan daripada hasil penemuan Abu ‘Ubaydah (728-824 M) dan al-Farra’ (762-825 M) dan sebaliknya. Ini kerana transkripsi sejarah merakamkan tokoh-tokoh ini sebenarnya hidup pada zaman yang sama iaitu pada zaman khalifah Harun al-
Rashid sehingga pada zaman kemuncak kegemilangan Islam di bawah tampuk khalifah al-Makmun yang berpusat di Baghdad. Pada hemat pengkaji, maklumat ini amat penting untuk diketengahkan untuk lebih memahami disiplin perkembangan saintifik al-Qur’an, walaupun tokoh ini memiliki perbezaan dari skop pengkajian, namun asasnya tetap sama dalam menguak prospek kemukjizatan al-Qur’an.
- Memandangkan skop kajian ini hanya menumpukan kepada konsep elemen saintifik kontemporari al-Quran perspektif al-Sha‘rawi pada lapan ayat terpilih, terdapat ruang pengkajian yang terbuka luas bagi penyelidik untuk menganalisis isu lain pada ayat yang berbeza. Selain itu, kajian terhadap pemikiran ataupun idea saintifik al-Sha‘rawi perlu diperluaskan lagi dengan melakukan perincian terhadap karya beliau yang lain, misalnya kitab Mu‘jizah al-Qur’an, Mu‘jizah al-Kubra dan al-Ayah al-Kawniyyah wa Dilalatuha ‘ala Wujud Allah. Kerana berdasarkan analisis dan perbandingan data dalam kajian ini, pengkaji mendapati karya ini memuatkan pelbagai perbahasan lain yang mampu dimanfaatkan oleh umat Islam khasnya.
- Kupasan rencam intelektual semasa yang giat melakukan penyelidikan dan ulasan berkaitan pengkajian al-Qur’an dan sains sama ada dalam konteks falsafah, pemikiran, perbandingan dan pemurnian pada teori dan aplikasi amat wajar dilakukan agar disiplin ilmu ini akan terus berkembang. Cadangan tokoh seperti Malek Bennabi, Sa‘id Hawwa, ‘Abd al-Daheem al-Kaheel, Muhammad Yusuf Sukkar.
- Menggiatkan lagi usaha pengkajian dan penyebaran maklumat berkaitan implementasi saintifik dalam memahami al-Qur’an melalui laman sesawang dan teknologi terkini, seperti usaha-usaha kesarjanaan yang sedang dibangunkan oleh Al-Hay’ah al-‘Alami li al-‘Ijaz al-‘Ilmi fi al-Qur’an wa al-Sunnah atau dikenali dengan International Commission On Scientific Signs In Qur’an and Sunnah (http://www.eajaz.org) dan International Institute for Quran Miracle (http://iiquran.com/).
- Ahli akademik di institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan disarankan untuk menggiatkan lagi kolaborasi penyelidikan yang merentasi bidang kepakaran. Misalnya pakar rujuk al-Qur’an bekerjasama dengan pakar rujuk dalam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya. Hal ini bertujuan agar penyelidikan yang dilakukan bertepatan dengan prinsip dan disiplin yang digariskan serta menghasilkan dapatan yang berautoriti. Pengkaji mengakui usaha ini telah wujud khasnya di Malaysia, namun tinjauan mendapati jumlah penglibatan masih minimum. Sedangkan disiplin ilmu semakin berkembang dan cabaran golongan ‘saintisme’ semakin berleluasa. Justeru tindakan proaktif perlu dilakukan segera.
- Selain itu, pendedahan dan pengukuhan kepada penuntut di institusi pengajian tinggi pada peringkat Ijazah Dasar (Undergraduate) dan Ijazah Tinggi (Postgraduate) mengenai disiplin ilmu turath dan karya berkaitan dengan pengkajian saintifik al-Qur’an terkini (meliputi aspek falsafah, pemikiran dan etika) amatlah wajar agar tidak berlaku kesilapan dan penyelewengan dalam memahami nas serta bertepatan dengan garis panduan yang telah ditetapkan. Hal
ini adalah mustahak kerana penguasaan kedua-dua bidang ini akan memberikan nilai tambah terhadap pemahaman dan ruang lingkup pengkajian.
- PENUTUP
Secara keseluruhannya, kajian ini telah mencapai objektif dengan mengidentifikasi konsep elemen saintifik dalam al-Qur’an menurut perspektif al- Sha‘rawi berdasarkan ayat-ayat terpilih. Dari aspek yang lain, kajian ini juga membuktikan bahawa teks Tafsir al-Sha‘rawi karya Muhammad Mutawalli Al- Sha‘rawi merupakan sebuah kitab tafsir moden yang relevan dengan isu-isu kontemporari terkini, dengan menyajikan paduan pentafsiran klasik dan moden, tafsir ini sesuai dijadikan bahan rujukan dalam pelbagai isu semasa. Justeru itu, kajian yang terbatas ini diharap dapat memberikan sumbangan yang bermanfaat serta menjadi rujukan dan bahan bacaan bagi pengkaji akan datang khususnya dalam menyerlahkan prospek kemukjizatan al-Qur’an dalam konteks kekinian.